KLUANG: Seorang penganggur mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan mencabul seorang wanita di sebuah tandas awam, kelmarin.
Tertuduh, Mohamad Sopor Nasir, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Sopor didakwa menggunakan kekerasan untuk mencabul seorang wanita di dalam Tandas Awam Wanita di Laman Kreatif Kampung Melayu, Kluang pada pukul 5.20 petang 17 Disember lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Suniza Nan Yan kemudian menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Namun, tertuduh dalam rayuan memohon jumlah itu dikurangkan.
“Saya minta kurangkan wang jaminan kerana masih mentah dan mata kanan lebam kerana ditumbuk oleh wanita itu,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan dikekalkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 2 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kluang. – UTUSAN