KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM800 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri di sebuah kedai serbaneka, semalam.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu setelah tertuduh, Kannan Kannaiah, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama sebulan.
Mengikut pertuduhan, Kannan didapati mencuri 23 batang rokok elektronik dan tiga kotak rokok jenama Dunhill berjumlah RM600 di sebuah kedai serbaneka sekitar pukul 3.30 pagi, 23 Disember lalu, di Taman Bukit Angkasa, Brickfields, di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman minimum atas alasan menyesal dan tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.
“Buat masa kini, saya tidak mempunyai kerja dan ada tiga orang anak yang perlu ditanggung. Saya juga sakit. Saya perlu bekerja untuk menanggung keluarga. Dimohon mahkamah mengenakan hukuman paling minimum. Saya insaf dan berjanji tidak akan buat lagi,” katanya