KEMAMAN: Seorang penganggur ditahan polis selepas disyaki memiliki senjata tiruan di rumahnya di Taman Banggol Indah, Chukai, dekat sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 6.45 petang selepas menerima aduan daripada penduduk berhampiran yang mendapati terdapat kesan tembakan di kediamannya.
“Pengadu berusia 55 tahun mendakwa, pada 18 Disember lalu, dia telah terjumpa serpihan kaca di atas lantai tangga dan terdapat kesan lubang pada kaca tangga di rumahnya. Dia juga turut menemukan beberapa biji bebola besi pada lantai balkoni dan di bahagian parkir rumahnya.
“Menurut pengadu, kejadian sama kembali berulang apabila pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 4.30 petang, dia terdengar seperti bunyi tembakan dari luar kediamannya. Selepas membuat pemeriksaan, dia menemukan beberapa biji bebola besi di parkir rumahnya,” katanya hari ini.
Wan Muhamad berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat lubang dipercayai kesan tembakan pada cermin tingkat atas rumah mangsa.
“Berdasarkan kesan arah tembakan, kita percaya ia berpunca dari kawasan rumah berhampiran. Suspek dipercayai telah menggunakan senjata tiruan iaitu ‘slingshot’ yang dibeli secara dalam talian dengan peluru jenis bebola besi atau ball bearing untuk menembak burung liar,” katanya. – UTUSAN