KOTA TINGGI: Seorang peneroka berusia 73 tahun, kerugian RM107,296.18 selepas terpedaya dengan pelaburan saham islamik diiklankan di Facebook.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kes itu semalam melibatkan sindiket pelaburan tidak wujud di mana mangsa telah melakukan 15 transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun penerima berbeza.
“Kejadian bermula sekitar Oktober 2023, mangsa telah melihat sebuah iklan mengenai pelaburan saham secara islamik di laman Facebook yang diiklankan oleh crasping silver.
“Oleh kerana mangsa berminat untuk membuat pelaburan, mangsa telah menghantar mesej ke akaun Facebook tersebut untuk bertanyakan berkaitan pelaburan ini.
“Suspek, seorang perempuan tempatan telah menerangkan kepada mangsa berkaitan pelaburan itu melalui aplikasi whatsapp. Suspek memberitahu, antara syarat untuk melabur, mangsa perlu mendaftar sebagai ahli terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, selepas membuat pendaftaran dan menjadi ahli kumpulan pelaburan crasping silver, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat bermula dari oktober 2023 sehingga oktober 2024.
Katanya, sepanjang tempoh membuat pelaburan itu, mangsa tidak mendapat apa-apa keuntungan yang dijanjikan.
“Tarikh terakhir mangsa membuat pembayaran adalah pada 24 Oktober 2024, selepas itu mangsa gagal untuk menghubungi suspek dan merasakan telah ditipu oleh suspek
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis daerah Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan sindiket pelaburan yang menawarkan keuntungan berlipat ganda,” katanya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada orang yang tidak dikenali melalui perkhidmatan “semak mule” yang tersedia dalam talian serta memuat turun aplikasi “whoscall” bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dan menghubungi segera Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – UTUSAN