GEORGE TOWN: Pembukaan laluan baharu menerusi penerbangan terus dari Chennai, India ke Pulau Pinang oleh syarikat penerbangan IndiGo dijangka menggalakkan kerjasama pelancongan, perniagaan dan kunjungan keluarga antara kedua-dua lokasi pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, pada masa yang sama, pembukaan laluan baharu itu juga boleh mempercepat hubungan dua hala selain meningkatkan kemudahan perjalanan.
Hon Wai berkata, kejayaan itu sebenarnya bertitik-tolak daripada lawatan delegasi kerajaan negeri ke empat bandar utama di India iaitu Mumbai, New Delhi, Chennai dan Kochi, baru-baru ini.
“Dalam lawatan itu, kami mempromosikan sumber pelancongan dan acara di Pulau Pinang di samping cuba meneroka peluang kerjasama selepas ini.
“Di Chennai, saya sempat bertemu Menteri Pelancongan Tamil Nadu, Tuan Thiru K. Ramachandran, untuk membincangkan kerjasama pelancongan dan hari ini, penerbangan terus dari Chennai ke Pulau Pinang menjadi kenyataan hasil usahasama tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Hon Wai berkata, selain Pulau Pinang, beberapa negeri di utara Semenanjung khususnya Perak, Kedah, dan Perlis juga akan mendapat manfaat susulan pembukaan laluan baharu itu.
“Pesawat yang digunakan (untuk penerbangan itu) adalah Boeing 737 MAX dengan kemudahan kelas perniagaan sekaligus menjamin pengalaman perjalanan yang selesa dan perkhidmatan baharu ini akan beroperasi setiap hari dengan menyediakan sambungan terus antara kedua-dua bandar tersebut (Pulau Pinang dan Chennai),” jelas beliau.
Tambahnya, sehingga November tahun ini juga, Malaysia telah menerima lebih satu juta pelancong India, peningkatan sebanyak 47 peratus berbanding tahun 2019.
Sehubungan itu, beliau berharap Pulau Pinang akan menjadi destinasi pilihan pelancong dari negara itu sebagai destinasi utama mereka melalui laluan berkenaan. – UTUSAN