Penduduk rayu segera bina SK Kota Warisan 2

Penduduk rayu segera bina SK Kota Warisan 2

BURHANUDDIN Yusof (depan berbaju batik merah) bersama penduduk ketika mendesak pembinaan SK Kota Warisan 2 di Sepang, Selangor. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dirayu supaya menyegerakan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Warisan 2 di kawasan itu ekoran sekolah rendah sedia ada ketika ini sudah terlalu sesak.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kota Warisan (PPKW), Burhanuddin Yusof berkata, SK Kota Warisan yang dibuka kira-kira 20 tahun lalu kapasitinya sudah pun mencecah lebih 2,000 pelajar.

“Saya bersimpati kerana difahamkan banyak kelas yang agak sempit apabila terpaksa menempatkan hampir 50 murid dan duduk berhimpit sebab tiada cukup ruang.

“Ramai ibu bapa hantar anak ke beberapa SK di luar kawasan seperti Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil kerana tempat tidak cukup di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bandar satelit ini dihuni sejak 1998 susulan pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berdekatannya dengan ketika ini didiami lebih 45,000 orang.

Sebahagian besar penduduk meliputi 25 taman perumahan bekerja di terminal udara itu selain Putrajaya dan Cyberjaya kerana lokasinya yang terletak di pertengahan laluan.

Beliau menambah, projek pembinaan SK Kota Warisan 2 memang telah ada lama dalam perancangan KPM dan terletak di Bandar Sunsuria dengan keluasan hampir tiga hektar.

Tanah berkenaan ujarnya, disediakan oleh pihak pemaju sendiri namun beliau tidak pasti mengapa perancangan untuk cadangan sekolah baharu itu masih lagi tidak diteruskan.

Justeru, PPKW telah membawa isu tersebut kepada Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu baru-baru ini yang turut menyokong usaha mereka dan berharap agar KPM dapat menyenaraikan SK Kota Warisan 2 dalam keutamaan bagi Rancangan Malaysia Ke-13.

“Pembinaan sekolah kedua ini memang perlu disegerakan kerana menjelang 2028, Kota Warisan diunjur bakal mengandungi lebih 100,000 orang penduduk,” kata Burhanuddin.

Pada masa sama, beliau bersyukur kerana projek Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Warisan yang mengandungi 42 buah kelas ketika ini sudah pun siap melebihi 70 peratus.

Institusi yang berkeluasan hampir lima hektar itu ujarnya, dijangka mampu mengatasi kesesakan di tiga buah sekolah di Dengkil, Seri Sepang dan Bandar Baru Salak Tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya