Penduduk nikmati air bersih selepas 40 tahun

Penduduk nikmati air bersih selepas 40 tahun

ZULKIFLI Wahijan (kanan) dan Noor Ain Mohd Amin bergambar di hadapan kolam tadahan air bersih yang dibina BPMB dan MCM di Kampung Luar, Mukim Siong, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Selepas lebih 40 tahun menggunakan bekalan air kurang bersih daripada air paip masyarakat, lebih 300 keluarga kini mendapat bekalan air bersih bertapis hasil usahasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Muslim Care Malaysia (MCM).

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, mereka menyediakan satu kolam tadahan air bertapis bagi membekalkan air bersih dengan kapasiti 100,000 ribu gelen untuk keluasan 15×30 kaki persegi dan berkedalaman 2.43 meter.

“Dengan bekalan air bersih ini, ia dapat meningkatkan kualiti kehidupan penduduk kampung apabila dapat melakukan aktiviti harian seperti membersihkan baju, memasak, air minuman dan sebagainya dengan lebih sempurna.

“Ini adalah satu inisiatif yang baik dan terpuji atas kemampuan dan kesedian BPMB untuk menaja program ini bekerjasama dengan MCM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kolam Tadahan Air Muslim Care di Kampung Luar, Mukim Siong, hari ini.

Menurutnya, sebelum melaksanakan program itu, mereka terlebih dahulu mengenal pasti masalah penduduk kampung dan membuat kertas kerja kepada BPMB untuk penajaan sebelum menyelia dan melaksanakan projek itu sehingga siap sepenuhnya.

Sementara itu Ketua Kumpulan Pengurusan Shariah Kumpulan BPMB, Noor Ain Mohd Amin berkata, pihaknya menyalurkan 89 peratus atau RM238,534 kos melalui dana zakat untuk manfaat asnaf, manakala bakinya disumbang MCM untuk membantu golongan bukan asnaf.

“Projek ini melibatkan pembinaan kolam tadahan air lengkap dengan sistem penapisan dan peningkatan rangkaian paip untuk menangani isu bekalan air bersih, terutamanya semasa musim perayaan dan majlis.

“Ia menjamin bekalan air bersih yang mencukupi kepada seluruh penduduk dalam jangka masa panjang. Projek ini juga dinilai melalui Measuring Impact on National Development (MIND) dan memastikan projek ini selaras dengan keperluan masyarakat dan matlamat pembangunan negara,” katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Luar, Ramli Husain, 65, tanah seluas empat hektar itu diwakafkan untuk projek bekalan air bersih tersebut.

“Setiap hari penduduk menerima tadahan air paip masyarakat yang tidak elok dan keruh apabila musim hujan, bila musim kemarau pula berlaku kekurangan bekalan air dan terpaksa mencari inisiatif lain untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Sejak kolam tadahan air ini siap sepenuhnya sebulan lalu, kami sudah menikmati air bersih ini dan kami merasa bersyukur serta berterima kasih kepada BPMB dan MCM atas inisiatif mereka membantu penduduk untuk menjalani kehidupan ini dengan lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya