SANDAKAN: Penduduk taman perumahan gempar seketika dengan penemuan buaya tembaga seberat 50 kilogram (kg) dan panjang 3.04 meter di dalam parit besar di Taman Megah, di sini pada Sabtu lalu.
Seorang penduduk menyedari kehadiran buaya berkenaan kira-kira pukul 7 petang dan seterusnya melaporkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk tindakan selanjutnya.
Jurucakap APM Sandakan berkata, sebaik sahaja panggilan diterima, petugas APM bergerak ke lokasi bagi memberi khidmat bantuan menangani kes berkenaan.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi dilaporkan, buaya telah ditangkap oleh penduduk kampung dan petugas APM kemudian bertindak mengikat buaya tersebut dengan menggunakan tali sementara menunggu ketibaan petugas Jabatan Hidupan Liar (JHL).
“Petugas JHL tiba pada pukul 7.34 petang dan buaya tembaga itu diserahkan kepada JHL untuk tindakan selanjutnya. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya. – UTUSAN