Penduduk dakwa ECRL punca banjir Mukim Batu Hitam

Penduduk dakwa ECRL punca banjir Mukim Batu Hitam

SEBAHAGIAN penduduk Mukim Batu Hitam berpiket secara aman di tapak pembinaan rel ECRL Kampung Batu Hitam, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kira-kira 1,000 penduduk Mukim Batu Hitam, di sini mendakwa kerugian berjumlah RM7.5 juta apabila kehilangan ternakan dan kerosakan harta benda selepas dilanda banjir sejak Rabu lalu.

Mereka mendakwa pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi punca banjir mengejut dengan air yang dalam dan arus yang deras berbanding kejadian banjir sebelum ini.

Seorang penduduk, Ab. Rahman Yaakub, 73, berkata banjir kali ini lebih teruk berbanding banjir besar tahun 2014 dan 2022 kerana air yang tenggelamkan kampung mereka gagal dialir keluar kerana terhalang dengan benteng rel yang dibina ECRL.

Menurutnya, penduduk mendesak ECRL mengubah semula tanah yang ditambak sepanjang lebih dua kilometer yang menyebabkan air hujan mudah terkepung dan tidak mengalir ke Kawasan yang sepatutnya.

“Kenyataan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL yang menegaskan tidak semua kawasan yang dilanda banjir di sepanjang jajaran ECRL adalah disebabkan oleh pembangunan projek ini adalah tidak tepat. Tinjauan dan kajian semula perlu dilakukan di tapak projek.

“Datanglah ke kampung kami di mana penduduk di Kamung Batu Hitam, Kampung Pangkalan Buaya, Kampung Pangkalan Pauh, Kampung Gong Garu dan Kampung Kemal yang telah terkena tempias dan menanggung kerugian. Kami tidak menuntut ganti rugi tetapi mendesak reka bentuk yang ditambak ditukar dengan tiang bagi membolehkan air disalir keluar,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan piket aman yang membabitkan 300 penduduk di Kawasan pembinaan rel ECRL Kampung Batu Hitam, di sini petang ini.

Sebanyak tiga jentolak milik penduduk bersama kain rentang diletakkan di tengah rel berkenaan sejak pukul 12 tengah hari sebagai tanda protes penduduk sebelum mereka berkumpul secara aman pada pukul 4.30 petang.

Penghulu Mukim Batu Hitam, Sukria Abdullah berkata, keseluruhan ternakan penduduk termasuk lembu dan kerbau gagal diselamatkan apabila air banjir naik secara mendedak.

“Sebelum ada rel memang ada banjir namun keadaannya tidak sedalam banjir kali ini mencecah 8 hingga 10 meter dalam tempoh yang singkat menyebabkan penduduk panik, hanya mampu menyelamatkan diri tanpa menyelamatkan ternakan dan harta benda,” katanya.

Semalam ,Akhbar melaporkan kenyataan MRL yang dipetik sebagai berkata, berdasarkan informasi sejarah kejadian banjir dan data daripada agensi teknikal, pihak MRL mendapati beberapa kawasan di negeri Kelantan dan Terengganu telah dikenal pasti sebagai kawasan mudah banjir.

Sukria berkata, banjir yang dimaksudkan MRL tidak seteruk dan sekerap berlaku selepas rel ECRL dibina dan seharusnya memerlukan kajian yang terperinci dari aspek rupa bentuk pembinaan yang dikaitkan dengan keperluan saliran dan pengairan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya