TELUK INTAN: Penduduk Kampung Sungai Kerawai di sini bimbang musim tengkujuh ketboleh menyebabkan banjir berikutan kampung mereka terletak berdekatan lokasi terlibat.
Penduduk berkata, tahun ini sahaja sudah tiga kali kampung mereka dilanda banjir akibat hujan lebat dan air pasang besar kerana lokasinya berdekatan sungai.
Lebih membimbangkan ban sungai, iaitu batas yang bersempadan dengan tebing Sungai Kerawai sudah tiga kali pecah disebabkan air sungai meningkat semasa musim tengkujuh sehingga air mengalir masuk ke kampung mereka,
Seorang penduduk, Latif Matagi, 70, berkata, ban tersebut sudah tiga kali pecah ketika dilanda banjir kilat sepanjang tahun ini.
Menurutnya, banjir paling buruk berlaku di kampung itu semasa fenomena air pasang besar baru-baru ini apabila air Sungai Batang Padang melimpah ke kawasan kediaman penduduk.
Dia mendakwa, ban tersebut yang dibina semula tahun lalu sudah tidak kukuh kerana dibina menggunakan batu dan hanya ditambak dengan tanah.
“Sepatutnya ban dibina daripada batu yang dipasang dengan karung dawai supaya batu itu tidak jatuh atau dihanyutkan arus deras.
“Selain itu banjir juga disebabkan kedudukan kampung ini lebih rendah daripada paras sungai, jadi apabila air sungai melimpah disebabkan hujan lebat, ia mudah memasuki ke kawasan kampung Sungai Kerawai dan kampung Selat Manggis,” katanya.
Menurutnya, disebabkan banjir yang kerap berlaku, penduduk rasa tertekan selain mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.
Katanya, mereka juga sudah penat untuk membersihkan rumah setiap kali selepas banjir.
“Baru sahaja kami bersihkan rumah, berlaku banjir lagi, kami tak tahu sampai bila akan mengharungi masalah ini.
“Air pasang besar yang berlaku baru-baru ini kali ke tiga rumah kami dilanda banjir, banyak peralatan rumah yang rosak.
“Kami berharap pihak yang berkenaan melihat keadaan kami dan menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda kampung kami,” katanya.-UTUSAN