PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan membuktikan wujud pengkhianatan besar kepada negara.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, proses undang-undang bagi menyiasat semula perkara itu harus dihormati semua pihak.
“Kita tengok proses berikutnya,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14, di sini, hari ini.
Anwar turut menyifatkan pendedahan dibuat RCI itu bukan perkara ringan termasuk apa-apa kesalahan yang terlibat dalam soal menyerahkan kedaulatan negara.
Jelasnya lagi, setiap inci tanah negara patut diperjuangkan habis-habisan, sebaliknya ada sedikit kegagalan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Perkara berkenaan antara yang disyorkan RCI berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, semalam.
Laporan akhir yang dinyahklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya.
Laporan ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya dipengerusikan Md Raus yang juga bekas Ketua Hakim Negara, menyatakan dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan adalah Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan itu dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri. – UTUSAN