TUMPAT: Pendapatan tidak stabil menjadi punca masih ramai artis tempatan tidak membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Radhi Khalid berkata, tahap kesedaran mereka sudah ada namun masih kurang.
Katanya, rata-rata artis boleh dikatakan tidak mampu mencarum dan mengambil perlindungan insurans untuk diri sendiri dan keluarga mereka.
“Ada artis yang mempunyai simpanan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ada artis yang tiada langsung caruman untuk masa depan mereka.
“Ada setengah artis yang hampir membuat pinjaman dengan ah long untuk menjelaskan bayaran pinjaman rumah dan kenderaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Banjir di Hospital Tumpat (HT), di sini, semalam.
Radhi berkata, sebelum ini artis yang terlantar kerana menghidap pelbagai pesakit, melahirkan rasa kesal kerana tiada caruman dengan Perkeso.
“Saya difahamkan pendapatan artis tidak stabil yang mendorong mereka tidak mampu mencarum dengan Perkeso.
“Saya meminta agar semua artis yang berdaftar dengan Karyawan mendaftar dengan Perkeso, demi masa depan mereka apabila mereka menghadapi masalah kesihatan atau terbabit dengan kemalangan jalan raya,” katanya. – UTUSAN