PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal dengan keputusan dilepas dan dibebaskan di atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Perkara itu diputuskan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan di sini hari ini yang dipengerusikan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.
“Setelah AGC menarik balik rayuan-rayuan terhadap responden, dengan ini mahkamah membatalkan rayuan,” katanya yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.
Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Ahmad Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.
Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Beliau juga memohon dibicarakan terhadap 33 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SGD$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan USD$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.
Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sama antara Jun 2015 dan Oktober 2017.-UTUSAN