Pendakwaan tarik balik satu pertuduhan terhadap Sanusi

Pendakwaan tarik balik satu pertuduhan terhadap Sanusi

Sanusi
MUHAMMAD Sanusi Md. Nor bersama Awang Armadajaya Awang Mahmud (dua, kanan) meninggalkan pekarangan mahkamah selepas menghadiri prosiding pengurusan kes berhubung pertuduhan yang dihadapinya dekat Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pendakwaan menarik balik pertuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dihadapi oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud dalam prosiding pengurusan kes hari ini memaklumkan demikian kepada mahkamah di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainudin yang kemudian memutuskan tertuduh dibebas dan dilepaskan.

Hakim kemudian memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut yang dikaitkan dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam prosiding pengurusan kes itu.

Bagaimanapun, satu lagi pertuduhan menghasut dihadapi Muhammad Sanusi yang dikaitkan dengan Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2023, dikekalkan dan ditetapkan perbicaraannya pada 24 hingga 28 Februari depan.

Namun, Masri dalam maklumannya kepada mahkamah memberitahu melepas tanpa membebaskan tertuduh selepas tidak bercadang meneruskan salah satu pertuduhan tersebut.

Pihak pendakwaan dengan ini menarik balik pertuduhan dan melepaskan tanpa membebaskan tertuduh dalam kes ini (hasutan yang dikaitkan dengan Sultan Selangor),” katanya.

Bagaimanapun, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud dalam hujahannya memohon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dilepas dan dibebaskan sepenuhnya berdasarkan Seksyen 245 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah mempunyai kuasa untuk melepas dan membebaskan dan memandangkan pendakwaan tidak akan meneruskan pertuduhan itu. Itu bukan dalam keadaan luar biasa, tetapi ia ditarik balik.

“Maka dalam doktrin yang mana sesuatu perkara tidak boleh tergantung di atas seseorang tanpa satu penyelesaian yang muktamad. Jadi, atas dasar itu, memandangkan pendakwaan memang tidak mahu meneruskan kes, maka saya mohon anak guam dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu bersyukur dengan keputusan penarikan pertuduhan tersebut dan akur dengan perbicaraan bagi satu lagi kes dihadapinya.

“Syukur pertuduhan pertama ditarik, tunggu pertuduhan yang kedua. Saya (akan) bincang dengan peguam (untuk menghantar representasi baharu). Ada kelegaan sedikit, tunggu yang kedua pula,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada 26 September lalu melaporkan Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi yang dikatakan dibuat atas nama ukhuwah sesama Islam dan bangsa Melayu.

Baginda dalam utusannya kepada Muhammad Sanusi menasihati beliau agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam syarahan kepada rakyat jelata terutama di Selangor.

Pada Julai lalu, Muhammad Sanusi melalui peguamnya mengemukakan representasi kali kedua selepas Mahkamah Tinggi dimaklumkan berkenaan penolakan representasi kali pertama oleh Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan dua pertuduhan hasutan dihadapinya.

Awang Armadajaya ketika itu memaklumkan representasi dikemukakan adalah untuk menyemak semula pertuduhan tersebut termasuk membatalkan pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Muhammad Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut yang dikaitkan dengan Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong dalam ceramahnya dekat Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya