KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang melepaskan dan membebaskan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan elak cukai.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan notis rayuan itu difailkan sekitar pukul 2 petang tadi.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, K. Muniandy memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Rosmah daripada 17 pertuduhan tersebut selepas kesemua pertuduhan terbabit tidak menyatakan secara terperinci kesalahan yang dilakukan serta bertindih.
“Tanpa perincian mengenai kesalahan yang dilakukan, apa yang tinggal ialah tindakan mendepositkan wang ke dalam akaun yang mana bukanlah sesuatu yang salah di sisi undang-undang,” kata hakim berkenaan ketika membaca penghakimannya ringkasnya semalam.
Rosmah sebelum ini didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018.
Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos lalu dan dua orang saksi telah dipanggil memberi keterangan. Perbicaraan terhenti selepas Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan pertuduhan pada 6 September 2023.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 sebagaimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Hukuman bagi kesalahan membabitkan pengubahan wang haram dan elak cukai itu ialah penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN