ALOR SETAR: Pendakwaan terpilih yang boleh menjejaskan prinsip keadilan sejagat bukan sahaja mencetuskan perdebatan undang-undang, tetapi membawa implikasi politik yang mendalam di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, dalam aspek politik, ia memperlihat bagaimana isu-isu perundangan boleh dijadikan senjata untuk melemahkan lawan politik.
Katanya, jika tidak ditangani dengan teliti hal itu, ianya berpotensi mewujudkan budaya pendakwaan terpilih yang merosakkan prinsip asas demokrasi.
“Kes Datuk Seri Najib Razak menjadi contoh jelas bagaimana persaingan politik dapat mengaburkan garis pemisah antara keadilan dan kepentingan politik. Sekiranya elemen seperti ini dibiarkan, ia akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan mencorakkan landskap politik yang semakin polarisasi,” katanya di sini, hari ini.
Mohd. Farhan berkata, negara memerlukan reformasi menyeluruh terhadap institusi kehakiman bagi memastikan badan itu benar-benar bebas, telus, dan adil.
Ujarnya, reformasi itu tidak hanya bersifat kosmetik, tetapi harus mencakupi mekanisme kawal selia yang lebih ketat, perlindungan terhadap campur tangan politik dan memastikan kesaksamaan dalam proses perundangan.
“Melihat kepada masa depan politik negara, isu ini boleh menjadi pencetus kepada peralihan paradigma dalam pemikiran rakyat terhadap kepimpinan dan keadilan. Rakyat akan semakin kritikal terhadap kerajaan semasa, malah isu ini mungkin menjadi faktor penting dalam menentukan pola pengundian pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, sentimen mengenai keadilan yang dilihat tidak dilaksanakan dengan saksama boleh mengakibatkan kehilangan sokongan kepada parti pemerintah, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pengundi atas pagar.
Katanya, sebarang kegagalan untuk menangani isu itu dengan serius bukan sahaja akan menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kehakiman, tetapi merisikokan masa depan politik Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang matang.
“Keadilan bukan sekadar konsep abstrak, ia asas kepada kepercayaan rakyat terhadap negara. Oleh itu, tindakan segera wajib diambil untuk membaiki segala kelemahan dalam sistem keadilan negara. Dalam masa yang sama, penting bagi kerajaan untuk tunjuk kesungguhan dalam memastikan tiada ruang untuk pendakwaan terpilih atau tekanan politik dalam mana-mana kes,” katanya.