MELAKA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang diumumkan berlangsung selama tiga hari pada 27, 30 dan 31 Disember menimbulkan persoalan kerana difahamkan ia sebelum ini dijadualkan bermula Isnin ini.
Perubahan tarikh itu mewujudkan spekulasi sama ada perkara itu mempunyai kaitan dengan status kerusi DUN Rembia, sama ada bakal dikosongkan atau dikekalkan setelah penyandangnya, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengumumkan penyertaannya dalam Pas pada 16 Julai lalu.
Pengumuman berkaitan nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia itu dijangka diumumkan Yang Dipertua DUN, Datuk Ibrahim Durum pada 27 Disember ini yang mana penggal DUN Melaka Ke-15 telah genap tiga tahun.
Ini bermakna sebarang pilihan raya kecil (PRK) tidak perlu diadakan, sekiranya wujud kekosongan luar jangka.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Ketua Pembangkang DUN, Dr. Mohd Yadzil Yaakub mengesahkan bahawa ada menerima notis persidangan yang dijadualkan berlangsung bermula Isnin ini.
“Ya bulan lepas memang saya ada terima notis pemakluman yang memaklumkan bahawa Sidang DUN Melaka bermula pada 9 Disember. Tetapi semalam (Khamis) tiba-tiba saya terima surat penangguhan mengatakan tarikh telah diubah kepada 27, 30 dan 31 Disember,” katanya yang juga ADUN Bemban.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan, Persidangan Ketiga (Bajet 2025) Penggal Ketiga DUN Melaka akan diadakan pada 27, 30 dan 31 Disember 2024.
Beliau berkata, persidangan diadakan pada hujung tahun adalah bertujuan untuk memastikan pembentangan bajet benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat.
Dalam pada itu, Muhammad Jailani ketika diminta mengulas mengenai scenario itu berkata, beliau bersedia dengan sebarang keputusan yang bakal diumumkan sama ada kekal sebagai ADUN Rembia ataupun tidak.
“Apapun yang Allah takdirkan, saya terima demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Ya, saya juga terima notis penangguhan sidang yang sebelum ini dijadualkan Isnin ini,” katanya ringkas. – UTUSAN