GEORGE TOWN : Selepas buntu untuk melakar sebarang kemenangan sejak empat bulan yang lalu, Penang FC akhirnya kembali berada di landasan yang betul apabila berjaya membenam cabaran PDRM FC 2-0 di Stadium Bandaraya, malam ini.
Lebih manis, kemenangan itu adalah yang pertama di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Wan Rohaimi Wan Ismail untuk aksi Liga Super selepas mengambil alih tugas tersebut daripada Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebelum ini.
Bermula baik, tuan rumah menunjukkan kesungguhan untuk memburu jaringan dalam perlawanan itu apabila melancarkan asakan ke kubu pelawat seawal minit ke pertama menerusi pemain import, Dylan Wenzel-Halls.
Bagaimanapun, rembatan pemain kelahiran Australia itu sedikit tersasar ke penjuru gawang PDRM FC.
Kelebihan berpihak kepada tuan rumah apabila pelawat kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan mereka, Amir Saiful Badeli dilayangkan kad merah seawal minit kelapan oleh pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee kerana melakukan kekasaran terhadap seorang pemain Penang FC.
Gol yang dicari oleh Penang FC akhirnya menjelma apabila penyerang import mereka, Rodrigo Dias menanduk masuk umpanan Mohamad Al Hafiz Harun pada minit ke-38 sekaligus memberikan kelegaan kepada penyokong tuan rumah yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
Masuk babak kedua, tuan rumah terus menggandakan asakan untuk memburu gol seterusnya dan hasilnya, rembatan pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat berjaya menggegar jaring pelawat untuk gol kedua Penang FC.
PDRM FC yang sesekali melancarkan serangan balas juga berpeluang untuk memecah kebuntuan jaringan, namun, ketumpulan jentera penyudah mereka membantutkan hasrat pelawat untuk mencipta gol.
Hujan lebat yang turun sehingga mengganggu permainan bagaimanapun memaksa Muhammad Shukor untuk menghentikan perlawanan buat sementara waktu meskipun aksi hanya berbaki lima minit untuk ditamatkan.
Sebaik sahaja aksi disambung semula, tuan rumah terus bertahan dengan kelebihan dua gol itu sekaligus memastikan tiga mata kekal menjadi milik mereka.
Penang FC kini di tangga ke-10 selepas mengumpul 14 mata secara keseluruhannya dengan merekodkan tiga kemenangan, lima keputusan seri serta tujuh kekalahan dalam saingan Liga Super setakat ini.-UTUSAN