KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengecam Pakatan Harapan (PH) yang didakwa sudah lupa bahawa Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia adalah undang-undang yang ditentang mereka sebelum menjadi kerajaan.
Setiausaha Agungnya, Amir Hadi berkata, MUDA amat kecewa dan mengutuk penahanan reman yang dibuat terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, baru-baru ini.
Kata beliau, pihak berkenaan sudah lupa bagaimana undang-undang itu digunakan bagi menekan suara rakyat melawan kezaliman dan salah guna kuasa.
“Ironinya, selepas mereka berkuasa, walaupun selama bertahun-tahun mereka berkempen untuk memansuhkan akta hasutan jika menang dalam pilihanraya, mereka pula yang terus menggunakan akta ini bagi mendiamkan suara rakyat.
“Tidakkah mereka malu kerana melanggar janji, menahan aktivis, mereka masih berteriak ‘Reformasi’?
“Yang perlu ditangkap bukan seorang aktivis yang melukis satira, yang perlu ditangkap adalah mereka yang kini terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Fahmi ditahan susulan 30 laporan polis yang dibuat berkaitan karikatur berbaur menghina pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman.
Fahmi ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang kira-kira pukul 5 petang semalam.
Pada 19 Disember lalu, Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin turut dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkaitan karikatur yang sama.
Dalam pada itu, Amir turut menggesa kerajaan untuk membebaskan Fahmi, memansuhkan Akta Hasutan dan melawan korupsi.
“MUDA menggesa agar moratorium dilaksana bagi menghentikan penggunaan Akta Hasutan dan #AktaSakitHati, dan seterusnya memansuhkan undang-undang lapuk ini.
“MUDA yakin, semangat perjuangan rakyat Sabah melawan korupsi ini, akan turut disambut di Semenanjung dan seluruh negara, dan perlawanan akan diperhebat sehingga mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan, selain tidak ada lagi perasuah-perasuah yang diberi kebebasan sebelum pun berdepan dengan perbicaraan.
“Negara ini tidak akan rosak kerana kerana lukisan satira dan suara rakyat, negara ini rosak kerana korupsi,” katanya. – UTUSAN