KUALA NERUS: Pergerakan Pemuda UMNO mengagihkan bantuan barangan keperluan bernilai RM100,000 dalam misi pasca banjir kepada mangsa di Terengganu dan Kelantan bermula hari ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, konvoi bantuan itu turut mengedarkan 700 kit makanan kepada mangsa banjir untuk meringankan beban kewangan mereka.
Katanya, melalui misi pasca banjir itu juga, pergerakan tersebut mengumpul maklumat kerosakan infrastruktur, rumah mangsa dan keperluan yang lain untuk dimaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan bagi tujuan baik pulih.
“Gerak kerja Pemuda UMNO bermula dari berlakunya banjir hingga proses pasca pembersihan kerana kita jentera kita ada di setiap kampung, di akar umbi.
“Pengurusan banjir telah diatur oleh jawatankuasa peringkat kampung bersama UMNO setiap bahagian dan kita sudah ada piawaian ‘gold standard’ yang mendapat pengiktirafan di Kemaman dahulu.
“Gerak kerja pengurusan ini tetap diguna pakai dan diaplikasikan di seluruh negara untuk kita bantu mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program turun padang ke Kampung Jeram Hulu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda UMNO mempunyai 20,000 keahlian Skuad Sabil yang sentiasa aktif di lapangan sepanjang banjir berlaku.
“Cuma untuk banjir kali ini, ia tidak digerakkan secara besar-besaran kerana banjir berlaku serentak di banyak negeri, kita pecahkan skuad ini untuk setiap kawasan,” katanya. – UTUSAN