DUNGUN : Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas motosikal yang ditunggangnya dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi laluan yang dinaiki air di sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 3, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan mangsa yang berusia 36 tahun bersama dua rakannya ke ladang tersebut kira-kira pukul 5 petang, Sabtu lalu.
“Ketika mahu pulang iaitu kira-kira pukul 5 pagi semalam, dua rakan mangsa yang menaiki lori dapat melalui jalan berkenaan. Mangsa yang menunggang motosikal di belakang lori itu dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan dan dihanyutkan arus deras,” katanya semalam.
Maizura berkata, dua rakan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba membantunya, namun gagal sebelum mangsa hilang dari pandangan.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan kira-kira pukul 7 pagi ini melibatkan pelbagai agensi penyelamat termasuk polis, pasukan bomba dan penyelamat serta dibantu penduduk kampung.
“Setakat ini, kita menemukan sebuah motosikal dipercayai milik mangsa pada kedalaman kira-kira satu meter dan operasi mencari mangsa masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN