Pementasan karya agung Sulalat ‘Us Salatin tarik minat generasi baharu - Utusan Malaysia

Pementasan karya agung Sulalat ‘Us Salatin tarik minat generasi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal mementaskan teater muzikal purbawara bertajuk Sulalat ‘Us Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu, bagi mengangkat keunggulan karya agung warisan bangsa.

Pementasan yang bertemakan “Kemaharajaan Maritim Selat Melaka” itu akan berlangsung di Panggung Seri, JKKN Melaka, Ayer Keroh, selama tiga hari iaitu dari 20 hingga 22 Disember ini.

Setiausaha Agung Persatuan Gerakan Anak Seni, Siti Rohayah Atan yang juga pengarah teater tersebut berkata, pementasan ini bertujuan memperkenalkan semula khazanah sejarah kepada generasi baharu.

Kata beliau, antara babak penting yang akan dipersembahkan termasuk pengembaraan Raja Suran ke dasar laut, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, serta kebijaksanaan Hang Nadim ketika Singapura diserang todak.

SITI ROHAYA ATAN (kiri) bersama barisan pelakon Sulalat Us Salatin

“Teater ini akan memaparkan asal-usul kemaharajaan maritim Selat Melaka bermula dari kisah Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah hingga kejatuhan Empayar Melaka. Kami mahu penonton memahami sejarah bangsa melalui persembahan yang kreatif dan menarik,” katanya dalam kenyataan media.

Mengulas lanjut, Siti berkata, teater muzikal ini melibatkan kerjasama antara Persatuan Gerakan Anak Seni, CTRA Production dan JKKN Melaka serta mendapat sokongan Inisiatif Belanjawan 2024 oleh GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Pementasan ini juga bertujuan memartabatkan naskhah agung Sulalat ‘Us Salatin yang diiktiraf sebagai Memori Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012. Dengan cara ini, kami dapat menyebarluaskan lagi falsafah yang terkandung dalam karya Tun Sri Lanang ini,” ujarnya.

Pementasan tersebut akan menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Norish Karman, Adam Lee, Rosli Rahman Adam, A. Aris Kadir, Zera Haris, dan Faysal Saad.

Tiket untuk menyaksikan teater ini boleh dibeli secara dalam talian di laman sesawang shop.ilassotickets.com.my atau melalui talian 011-1329 7822. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya