JOHOR BAHRU: Pembinaan puluhan pusat data baharu di negara ini tidak akan menjejaskan bekalan tenaga dan air domestik serta menyebabkan kenaikan tarif.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, para pengguna domestik diminta agar tidak perlu risau tentang perkara berkenaan.
“Kita tahu pusat data memerlukan penggunaan tenaga dan air yang banyak dan konsisten. Oleh itu, kerajaan telah memberi mandat agar segala perancangan dan komitmen baharu mestilah tidak mengganggu keperluan bekalan tenaga sedia ada.
“Disebabkan itu, kita juga menggalakkan syarikat pusat data untuk menggunakan tenaga boleh baharu serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga,” katanya semasa menghadiri Sesi Pembelajaran Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru memberitahu, perubahan tarif bekalan elektrik dan air di negara ini bergantung dengan peningkatan kos bahan mentah, termasuk arang baru.
“Yang akan menyebabkan perubahan tarif biasanya adalah kos bahan api. Jadi, sebab itu pihak kementerian lihat secara holistik agar sistem sedia ada mampu beri bekalan konsisten dan mampan.
“Ini memang cabaran buat kita kerana perubahan grid tenaga biasa kepada grid tenaga pintar untuk meningkatkan keupayaan turut menelan kos. Jadi, semakan memang dibuat secara berkala,” jelasnya. – UTUSAN