Pembeli kelapa sawit wajib tunjuk resit, jika mahu perbaharui lesen

Pembeli kelapa sawit wajib tunjuk resit, jika mahu perbaharui lesen

JOHARI Abdul Ghani ketika ditemubual pemberita pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-26 PERDASAMA di Kuala Lumpur.- UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pembeli kelapa sawit wajib menunjukkan resit pembelian yang lengkap kepada pekebun kecil bagi setiap pembelian mulai tahun hadapan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengenai syarat baharu itu kepada pembeli dan pengedar dalam kelapa sawit.

Beliau juga menegaskan, lesen pembeli tidak akan diperbaharui sekiranya pembeli melanggar prosedur yang telah ditetapkan.

Tambahnya lagi, tindakan tegas ini akan dikuatkuasakan bagi memastikan kepatuhan dan integriti terus terpelihara dalam industri sawit negara.

“Kita akan menetapkan syarat kepada pembeli buah kelapa sawit atau orang tengah yang berurusan dengan pekebun kecil untuk memastikan timbangan mereka berada dalam keadaan tepat dan telus.

“Setiap kali pembeli berurusan dengan pekebun kecil, mereka diwajibkan mengeluarkan resit bagi menunjukkan butiran lengkap seperti jumlah tan, berat buah kelapa sawit dan kadar perahan minyak (OER) kepada pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) kali ke 26 di sini, hari ini.

Tambah Johari, isu penipuan timbang dan ketiadaan resit pembelian sawit masih berlaku dan akan menyukarkan perkembangan dan kelestarian industri komoditi ini jika tidak dikawal dengan tegas.

Justeru, beliau berkata, penguat kuasa MPOB di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan mengejut ke atas peniaga yang membeli sawit bagi memastikan isu ini tidak berterusan.

“Kes penipuan timbang memang tidak banyak, tetapi aduan masih ada. Jadi, lesen yang dikeluarkan MPOB kepada ‘dealer’ adalah untuk mempermudah (facilitate) urusan dalam industri ini.

“Oleh itu, mereka yang terlibat dalam industri ini perlu memastikan mereka mematuhi prosedur yang telah ditetapkan. Sekiranya mereka melanggar prosedur ini, lesen mereka tidak akan diperbaharui,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya