Pembantu stor mengaku tidak bersalah pecah amanah harta syarikat

Pembantu stor mengaku tidak bersalah pecah amanah harta syarikat

NG Khai Liang (dua dari kiri) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pembantu stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan membawa keluar peralatan elektrik dan kad Touch N Go milik syarikat tanpa kebenaran berjumlah RM126,765 tahun lalu.

Tertuduh, Ng Khai Liang, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai penjaga stor didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya telah menyalahgunakan harta syarikat yang diamanahkan terhadapnya iaitu enam keping kad Touch N Go, 20 alat penapis air dan 30 penyaman udara milik syarikat SK Magic Retails Malaysia Sdn Bhd berjumlah RM126,765.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat SK Magic Retails Malaysia Sdn Bhd di Butterworth pada antara pukul 11.20 pagi pada 8.19 malam dari 11 Jun 2023 sehingga 18 September 2023.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

erdahulu, semasa prosiding, Muhammad Rifaie menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga diminta untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang masih bujang memohon jaminan dikurangkan atas alasan perlu menjaga abangnya yang menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu selain menanggung ibunya yang uzur dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan mengarahkan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 7 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya