SEREMBAN: Sekumpulan ahli parti pembangkang di negeri ini hari ini mendesak supaya penyelarasan gaji dan elaun Menteri Besar, ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dibatalkan.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin berkata, kadar kenaikan itu yang diputuskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan baru-baru ini adalah sebagai tidak munasabah.
Beliau mendakwa, sebagai contoh gaji Menteri Besar naik sebanyak 56.5 peratus kepada RM30,000 berbanding kadar semasa sebanyak RM19,175.
“Gaji ahli Exco pula naik sebanyak 56.1 peratus kepada RM17,000, ADUN menerima gaji sebanyak RM13,000 manakala gaji Setiausaha Politik Menteri Besar naik sehingga 100 peratus kepada RM10,000.
“Kenaikan ini dibuat ketika rakyat sedang dihimpit kos kehidupan dengan pengenalan pelbagai cukai baharu dan subsidi ditarik balik,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini hari ini.
Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad.
Badrul Hisham berkata, memorandum itu turut mendesak peruntukan kerajaan negeri turut diberikan kepada kawasan DUN yang diwakili wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN) selain turut mendesak semua projek tebatan banjir di negeri ini yang tertangguh disegerakan pembinaannya.
Sementara itu, Nor Azman berkata, sebagai kerajaan yang menghormati sistem demokrasi, pihaknya menerima memorandum tersebut dan akan memperhalusi semua isu yang dibangkitkan.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memberikan pentadbiran dan perkhidmatan yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penyelarasan semula gaji dan elaun ADUN di negeri ini dilakukan selepas mengambil kira tempoh 10 tahun ia tidak dilakukan semakan semula. – UTUSAN