IPOH: Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Perak adalah sejumlah 988,722.22 hektar iaitu 47 peratus daripada keluasan negeri setakat 31 Oktober 2024.
Daripada keluasan tersebut, 48.18 peratus dikelaskan sebagai hutan perlindungan manakala 51.82 peratus sebagai hutan pengeluaran.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihak berkuasa negeri boleh mengeluarkan atau memansuhkan HSK bagi kegunaan ekonomi yang lebih tinggi di bawah Seksyen 11 dan 12, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.
“Pemansuhan tersebut perlu dilaksanakan penggantian dengan mengambil kira keluasan yang lebih kurang sama,” katanya semasa menjawab soalan Razman Zakaria (Pas-Gunong Semanggol) semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini tentang penyahwartaan Hutan Simpan Segari Melintang.
Saarani berkata, keputusan Majlis Tanah Negara pada tahun 2021 menetapkan bahawa tiada aktiviti perlombongan dan pengkuarian boleh dilaksanakan di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal yang telah diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Sehubungan itu jelasnya, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dengan menyelaras semula kawasan yang aktif pengkuarian di dalam Hutan Simpan Kekal Segari Melintang sebagai mematuhi dasar Majlis Tanah Negara.
“Bagi maksud ini, kerajaan negeri telah membatalkan sebahagian kawasan Hutan Simpanan Kekal Segari Melintang berjumlah 548.1 hektar.
“Tapak gantian kepada pewartaan keluar Hutan Simpan Segari Melintang ini adalah di atas tanah kerajaan di mukim Durian Pipit, daerah Hulu Perak seluas kira-kira 999.58 hektar yang telah sempurna diwartakan sebagai Hutan Simpan Durian Pipit melalui warta bertarikh 18 Mei 2024,” katanya.
Tambahnya, hasil penelitian semula kesesuaian dan potensi kawasan-kawasan di dalam HSK akan dimasukkan dalam Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Perak 2026-2035. – UTUSAN