GUA MUSANG: Pemandu treler yang dilaporkan menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan yang mengorbankan seorang penuntut wanita Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut di Terengganu di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, kelmarin didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan terhadap suspek lelaki berusia 28 tahun itu, dia positif Methamphetamine.
Katanya, susulan itu tahanan reman dikenakan ke atas suspek selama empat hari bermula semalam.
“Pada hari kejadian kira-kira pukul 6 petang, suspek yang sebelum itu melarikan diri selepas kemalangan datang ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menyerah diri.
“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan bekerja sebagai pemandu treler selama lapan tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Choon Foo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN