KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tular melanggar seorang penunggang motosikal sebelum kenderaan itu terbakar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membabitkan insiden tersebut.
Sum Kah Fei, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.
Pada 15 Disember lalu, tular di media sosial tindakan seorang pemandu kenderaan mewah melanggar lari selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 18, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) membawa padah apabila kenderaannya terbakar tidak lama kemudian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah hari itu, pemandu Mercedes GLE450 AMG dilaporkan sebelum itu telah melanggar penunggang motosikal jenis Honda Vario 160 yang sedang bergerak lurus di lorong kiri, berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa dilaporkan berkata, pemandu berusia 34 tahun itu bagaimanapun tidak berhenti selepas perlanggaran dan meninggalkan penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah.-UTUSAN