Pemandu lori miliki campuran petrol dan diesel tanpa lesen didenda RM20,000

Pemandu lori miliki campuran petrol dan diesel tanpa lesen didenda RM20,000

TERTUDUH (baju biru muda) diiringi pegawai KPDN negeri keluar dari kamar perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kangar, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pemandu lori didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 400 liter campuran petrol dan diesel yang diperoleh secara runcit tanpa lesen, tahun lalu.

Tertuduh, How Boon Guey, 58, membuat pengakuan bersalah tersebut di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda tersebut dan jika gagal tertuduh boleh dihukum penjara selama lapan bulan. Tertuduh membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, S. Mugunthan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 2 yang melaksanakan Ops Tiris di tepi Jalan Kaki Bukit berhampiran sebuah stesen minyak pada pukul 10.30 pagi, 26 Jun tahun lalu.

Pemeriksaan ke atas barang kes menemukan sejumlah cecair yang disyaki minyak petrol disimpan di dalam tangki tambahan pada sebuah van jenis Toyota Liteace berwarna putih dengan nombor pendaftaran Malaysia.

Suspek gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen atau permit untuk berurus niaga, membeli atau menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak petrol. 

Pegawai penyiasat bertindak menyita van berkenaan serta 400 liter cecair disyaki petrol yang disimpan dalam tangki tambahan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya