KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri selipar bernilai RM98, seorang pemandu e-hailing didenda RM500 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu, bulan lalu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membuat keputusan itu setelah tertuduh, Samsul Azman Martias, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama 14 hari.
Mengikut pertuduhan, Samsul didapati telah mencuri sepasang selipar jenama Adidas berwarna hijau bernilai RM98 pada pukul 1.30 petang, 24 November lalu di butik Original Classic, Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam bela, Narandra Kangatharan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga.
“Tertuduh tidak bekerja ketika kejadian berlaku. Dia perlu menanggung ibu dan bapanya yang uzur dan empat orang adik beradik yang masih belajar. Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia kesal serta berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Dimohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara dua hingga tiga hari sebagai pengajaran,” katanya. – UTUSAN