KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing didenda RM150 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini di atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan makanan termasuk minyak masak di sebuah kedai serbaneka, semalam.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu setelah tertuduh, Suhadee Ismael, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama sehari.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah mencuri barangan makanan seperti minyak masak, roti dan aiskrim berjumlah RM59.13 di sebuah kedai serbaneka di Taman Melati di sini pada pukul 9 malam, 2 Disember lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman maksimum RM150 dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Cheah See Yan, memohon anak guamnya dikenakan hukuman minimum dengan alasan kesalahan itu dilakukan kerana terdesak.
“Tertuduh sudah bercerai dan mempunyai seorang anak. Dia bekerja sebagai pemandu Lalamove dan tidak mempunyai duit untuk membeli barangan keperluan harian. Tertuduh mencuri disebabkan desakan hidup,” katanya.
Menurut fakta kes, semasa pengadu yang juga penyelia kedai itu melihat seorang lelaki berbangsa Melayu telah memasuki premis dengan keadaan mencurigakan.
Tertuduh kemudian dilihat berlegar-legar di dalam premis dan ketika hendak keluar dari kedai berkenaan, pengadu mendapati beg sandang yang dibawanya itu kelihatan penuh dengan barang.
Oleh kerana curiga, pengadu segera mengarahkan kakitangannya untuk menahan tertuduh dan memeriksa beg tersebut. Pemeriksaan mendapati beg berkenaan berisi barangan jualan seperti roti, minyak masak dan aiskrim yang tidak dibayar.
Kemudian, pengadu menghubungi pihak polis dan tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut.-UTUSAN