KUALA LUMPUR: Seorang pelawak terkenal dikatakan ditahan di Jeddah kerana dipercayai memiliki dadah jenis ganja ketika dalam perjalanan menunaikan umrah baru-baru ini.
Menurut sumber, pelawak tersebut dipercayai ditahan dua bulan lalu di Lapangan Terbang Jeddah dan masih berada dalam tahanan bagi tujuan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Tambah sumber, selebriti itu juga difahamkan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.
Bagaimanapun selebriti berkenaan dilihat masih aktif di media sosial dengan beberapa hantaran baharu dimuat naik namun kandungan itu dipercayai diuruskan oleh pasukan pengurusannya.
Malah, pelawak tersebut dikatakan bakal muncul dalam satu program televisyen yang telah dirakam lebih awal sebelum insiden penahanan berlaku.
Ketika ini, tiada maklumat lanjut berhubung kesahihah kes tersebut.
Utusan Malaysia juga sedang mendapatkan kenyataan daripada pihak berkuasa tempatan serta keluarga selebriti terbabit.-UTUSAN