PETALING JAYA: Pelarian Syria di Malaysia perlu dihantar pulang selepas negara tersebut bebas daripada cengkaman rejim Presiden Bashar al-Assad.
Keputusan tersebut disifatkan wajar dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jumlah pelarian yang tinggi di negara ini.
Selain itu, ia bagi mengelakkan lambakan dan timbulnya konflik pada masa akan datang terutama berkaitan kesihatan serta kewangan.
Bagaimanapun, Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Prof. Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, penghantaran tersebut perlu dilaksanakan menerusi program khas sukarela dan bukan dengan tujuan pengusiran.
Malah katanya, program tersebut juga tidak melibatkan keseluruhan pelarian sebaliknya kumpulan tertentu sahaja.
“Mereka yang terlibat ialah pelarian yang tidak boleh menerima suasana persekitaran di Malaysia atau mereka yang ada rekod tidak baik termasuk pernah memberi ancaman atau yang melanggar undang-undang negara ini, kita wajar hantar mereka pulang.
“Paling penting kita tidak melakukan perkara yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu yang dihantar pulang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebagai rekod, kira-kira 100,000 jumlah pelarian dicatatkan di negara ini dengan 4,000 dari Syria.
Kerajaan pimpinan Assad yang memerintah selama 53 tahun telah tumbang sepenuhnya selepas kumpulan pembebas Syria melancarkan serangan mengejut, iaitu 13 tahun selepas protes antikerajaan sehingga mencetuskan perang saudara sehingga mengorbankan ratusan ribu orang.
Dalam pada itu, Mohd. Mizan berkata, langkah itu juga memberi gambaran jelas pendirian Malaysia yang menjaga kebajikan pelarian dan dalam masa yang sama tidak mengetepikan kepentingan rakyat sendiri.
Dalam pada itu, Pakar Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, program seumpama itu mampu membantu pelarian yang mahu pulang ke negara asal.
“Seperti mana pelarian Syria di Jordan atau Turkiye,mereka mahu pulang. Bagi kita jika ada yang mahu pulang kita wajar bantu sedaya upaya dan melicinkan proses yang betul.
“Tapi kalau mereka mahu tinggal di sini mungkin boleh dibuat secara sah dan bukan tinggal di negara kita dengan memegang status pelarian lagi,” jelasnya. – UTUSAN