PETALING JAYA: Seorang pelancong lelaki warga China berusia 84 tahun dilaporkan hilang selepas makan bersama keluarganya di Medan Selera Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki warga emas yang mempunyai masalah pendengaran dan tidak memakai sebarang alat bantuan pendengaran itu datang ke medan selera tersebut bersama empat ahli keluarganya.
“Dia dikatakan hilang pada hari berkenaan dan keluarganya membuat laporan pada keesokan hari, kira-kira pukul 11.42 pagi.
“Dia bersama keluarganya datang melancong ke Malaysia dan dijangka pulang ke negara asal pada 17 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pakaian terakhir yang dipakai mangsa adalah kemeja T berwarna putih dan dianggarkan berketinggian 159 sentimeter.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-26002264 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya. – UTUSAN