KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAP-BHR) menjelang 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu bagi melindungi perniagaan, orang awam dan mereka yang terjejas oleh perniagaan melibatkan isu hak asasi manusia.
Selain itu, kata beliau, pelan itu juga akan membantu perniagaan mencapai piawaian hak asasi manusia antarabangsa, membimbing semua bentuk perniagaan dalam menggabungkan usaha wajar hak asasi manusia serta menangani masalah yang timbul.
“Kerajaan komited untuk memajukan hak asasi manusia dan mengambil langkah untuk memupuk persekitaran yang selamat, inklusif dan saksama untuk semua.
“Draf sifar dijangka siap pada Januari 2025 sekali gus menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam usaha berterusan ini,” katanya dalam ucapan Majlis Forum Hak Asasi Manusia 2024, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, selaras usaha itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) juga melancarkan Garis Panduan Kebangsaan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NBA) pada Ogos lalu sebagai gambaran menyeluruh keadaan semasa hak asasi manusia di negara ini.
“NBA mengenal pasti jurang, cabaran dan kawasan untuk penambahbaikan, membantu perniagaan di negara ini dalam sejajar dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
“Ia meliputi bidang utama seperti alam sekitar, buruh dan tadbir urus, selaras dengan piawaian global, khususnya Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGP).
“Dengan mengguna pakai prinsip ini, perniagaan boleh berusaha ke arah amalan yang menghormati maruah manusia, kesaksamaan, dan keadilan,” katanya.
Jelasnya, NBA adalah langkah pertama yang penting ke arah membina rangka kerja yang mampan untuk perniagaan dan hak asasi manusia sekali gus mencerminkan pengiktirafan kerajaan bahawa kesejahteraan rakyat dan kemampanan pertumbuhan negara adalah terjalin. – UTUSAN