KUALA LUMPUR: Pelakon, Lan Zailan, 66, yang popular menerusi filem Suami, isteri dan…? disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat.
Berita duka itu disampaikan isterinya, Ruby Sara Omar yang memaklumkan suaminya kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).
“Sahabat-sahabat… Ruby nak bagi tahu bahawa doktor sahkan Lan menghidap kanser pankreas tahap 4.
“Menurut doktor, jangka hayat Lan tiga bulan sahaja. Tetapi itu kata doktor sebab kanser sudah merebak ke bahagian hati dan paru-paru.
“Mohon sahabat-sahabat bagi semangat kepada Lan,” kongsinya menerusi pesanan WhatsApp.
Lan atau nama penuhnya Zailan Kamaruddin mula melangkah ke dalam dunia lakonan pada tahun 1980.
Sepanjang pembabitan dalam dunia seni, pelakon ini telah menjayakan 14 buah filem dan lebih 20 buah drama.
Ruby dalam masa yang sama memohon maaf bagi pihak suaminya dan mengharapkan doa peminat agar pelakon itu kembali sembuh.
“Jika ada salah silap mohon maafkan beliau.
“Amin ya Allah, semoga ada keajaiban buat abang Lan, terima kasih,” katanya.