PETALING JAYA: Seorang wanita warga asing ditemukan maut dipercayai terjatuh selepas tergelincir daripada tingkat 33 ketika mahu keluar melalui tingkap kerana pintu tandas rosak di sebuah apartment, Kajang dekat sini, semalam.
Mangsa berusia 19 tahun yang juga pelajar di sebuah universiti awam itu ditemukan terbaring di koridor tingkat 12 oleh orang awam sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.34 petang.
Menurutnya, pemeriksaan pihak perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia oleh ketika ditemukan di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai tergelincir daripada tingkat 33 dalam usaha untuk keluar melalui tingkap tandas kerana pintu tandas mengalami kerosakan sebelum mangsa terjatuh ke koridor tingkat 12 apartment berkenaan.
“Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Serdang pada 10 pagi, hari ini mendapati punca kematian mangsa adalah pelbagai kecederaan akibat jatuh daripada tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Naazron berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh membantu siasatan lanjut
“Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Baru Bangi, Asisten Superintendan Mohd Nasri Tesnoh di talian 017-7102042,” katanya. – UTUSAN