KUALA LUMPUR: Bagi menghargai sokongan pelajar Sekolah Kebangsaan Senawang yang menyanyikan lagu Nurcinta dalam sebuah video tular, penyanyi, Amir Masdi hadir membuat kejutan istimewa buat mereka.
Kehadiran Amir atau Amir Syazwan Masdi, 28, hanya diketahui guru sekolah tersebut yang turut teruja apabila penyanyi itu berbesar hati membuat persembahan secara langsung.
“Saya nampak ada satu cover (nyanyian saduran) dilakukan pelajar sekolah itu dan menariknya, mereka menyanyi dengan bermain instrumen.
Saya rasa macam jarang dapat lihat lagu cover yang dibuat sambil main instrumen. Saya rasa terharu dan mahu hadir ke sekolah untuk menghargai usaha mereka.
“Saya pergi ke sekolah itu untuk membuat kejutan kepada pelajar. Saya dan pasukan menghubungi guru terlibat. Mereka yang menguruskan semuanya,” katanya.
Amir berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media filem animasi Dongeng Sang Kancil, baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai reaksi pelajar, Amir berkata, mereka sempat tercengang sebelum masing-masing saling bersorak dan memanggilnya dengan gelaran Abang Nurcinta.
“Satu sekolah hafal lagu Nurcinta dan saya nampak usaha guru-guru memberikan pendedahan terhadap bidang muzik dengan baik kepada murid.
Kehadiran saya itu juga bukan hanya untuk menyanyi tetapi mahu memberi motivasi dan semangat buat mereka untuk terus berjaya dalam muzik.
“Waktu saya datang, mula-mula mereka tenung saya. Tapi apabila mereka sudah sedar saya siapa, mereka panggil ‘inilah abang Nurcinta’,” jelasnya.
Terdahulu, sebuah video memaparkan Amir membuat kejutan ke SK Senawang mencuri perhatian ramai.
Dalam lawatan itu, Amir menyanyikan lagu Nurcinta yang menjadi runut bunyi drama popular, Andai Tiada Dia. -UTUSAN