Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini menerima kunjungan seramai 32 orang pelajar dan guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ramal bersama tiga orang wakil daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Pandan.
Lawatan tersebut diatur oleh Penolong Setiausaha GPMS Cawangan Pandan, Ahmad Ukail Mohd Rusdhi, yang juga merupakan bekas peserta Program ADN Muda Selangor 2024 .
Lawatan sambil belajar anjuran GPMS Pandan ini merupakan program pertama GPMS yang dinamakan “Jelajah Perintis: Dewan Negeri Selangor” yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah tentang amalan demokrasi dan kenegaraan dari perspektif Dewan Negeri Selangor.
SMK Sungai Ramal merupakan sekolah pertama mengadakan kunjungan ke Dewan Negeri Selangor dan rombongan tersebut diketuai oleh Puan Fazhilah Abd Manaf.
Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San berkata, bahawa Dewan Negeri Selangor menerajui usaha-usaha reformasi badan legislatif sejak tahun 2008 bagi memastikan prinsip demokrasi diamalkan dengan lebih baik, bukan Sekadar rubber stamp atau cap getah, ujarnya.
Kata beliau usaha tersebut akan diteruskan lagi pada masa akan datang, seiring dengan peredaran zaman.
Speaker juga telah membawa rombongan melawat ke Galeri Dewan
Negeri Selangor dan menerangkan kepada para pelajar berkenaan sejarah negeri Selangor, terutama berkaitan penubuhan Dewan Negeri Selangor dan para pelawat berpeluang melihat replica alat-alat kebesaran berkaitan Dewan Negeri Selangor.
“Saya berharap lawatan ini dapat membantu pelajar untuk lebih memahami sejarah kita. Kami mengalu-alukan lawatan daripada sekolah dan semua urusan lawatan boleh disampaikan kepada Pejabat Dewan atau Pejabat Speaker,” ujarnya. – UTUSAN