JERANTUT: Seorang pelajar yang juga penghidap sakit jantung di Felda Sungai Tekam Utara di sini, bekerja mengambil upah membaiki motosikal selepas waktu persekolahan bagi membantu menambah pendapatan keluarganya.
Muhammad Firdaus Hakimi Zulkifli, 17, berkata, dia berkorban walaupun kerja tersebut memberikan tekanan serta kesan kepada penyakitnya demi membantu ibunya, Norsahiyah Said, 39, yang bekerja sebagai buruh sambilan serta empat orang adiknya yang masih bersekolah.
“Saya mengalami sakit jantung sejak berusia 11 tahun dan berulang-alik enam bulan sekali ke hospital untuk rawatan, tetapi keadaan semakin membimbangkan apabila kerap tidak bertenaga (letih) dan tidak berselera makan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Muhammad Firdaus, dia tetap menggagahkan diri ke sekolah setiap hari di samping menghadiri kelas tambahan walaupun keadaan dirinya cepat letih sebagai persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
“Pulang dari sekolah tengah hari dan kelas tambahan setiap petang, saya terus menyambung kerja membaiki motosikal penduduk di sini termasuk rakan sekolah.
“Saya mengambil upah antara RM15 hingga RM30 memasang alat ganti yang dibawa oleh pelanggan selain membaiki enjin motosikal yang rosak,” katanya.
Muhammad Firdaus berkata, wang upah itu dapat menampung pendapatan ibunya yang bekerja sebagai buruh sambilan, iaitu memotong dan meracun rumput, membasuh pakaian, peralatan rumah, pembantu kedai dan pelbagai pekerjaan yang cuma memperoleh kurang daripada RM20 sehari.
Katanya, selepas peperiksaan SPM nanti, dia akan menumpukan pekerjaan membaiki motosikal sepenuhnya bagi membantu menambah pendapatan ibunya yang terpaksa bergelut menyara persekolahan empat adiknya.
“Wang upah ini juga disimpan untuk perbelanjaan berulang-alik ke hospital bagi rawatan jantung kemungkinan lebih kerap berjumpa doktor memandangkan keadaan badan saya lemah dan tidak berselera makan lebih lagi tulang rusuk bertambah sakit,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Firdaus menerusi talian 019-4120866 ataupun Norsahiyah di talian 014-5466837. – UTUSAN