Berjalan kaki meredah hutan belantara dan jalan tanah merah yang berlumpur sudah menjadi kebiasaan pelajar di pedalaman Sabah.
Jika musim hujan, keadaan jalan yang berlumpur memberi cabaran kepada anak-anak di pedalaman Sabah untuk kembali ke sekolah selepas cuti pada hujung minggu.
Pada awal tahun ini, tular kisah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai, Kota Marudu terpaksa meredah jalan berlumpur dan bermalam di pondok kecil kerana kenderaan yang dinaiki bersama dua guru mengalami kerosakan semasa dalam perjalanan menuju ke sekolah.
Pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf Jalan Magandai telah pun bermula, diharap dengan penaiktarafan jalan itu, kisah murid terpaksa meredah laluan berlumpur untuk sampai ke sekolah tidak lagi berulang.
SEKOLAH DAIF
Selain masalah infrastruktur jalan raya, pelajar di pedalaman Sabah juga berhadapan dengan masalah sekolah daif. Jika dilihat sebahagian sekolah daif tahap enam dan tujuh tidak lagi selamat untuk digunakan.
Namun, murid di luar bandar tidak mempunyai pilihan selain terpaksa belajar dalam situasi pembelajaran yang tidak kondusif. Amat mengecewakan apabila sudah 60 tahun negara ini dibentuk tetapi, sekolah-sekolah di Sabah masih seperti zaman 80-an.
Bagi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nangka, Beluran, Slyvia Francis, 44, penaiktarafan sekolah daif harus selari dengan pembangunan infrastruktur di luar bandar.
Sekiranya ingin menaik taraf bangunan sekolah, ia harus diiringi dengan pembangunan lain seperti jalan raya. Jika tiada akses jalan raya, kerja-kerja menaik taraf sekolah tidak dapat dilakukan.
“Bayangkan jika sekolah yang ingin dinaik taraf berada di seberang sungai. Bagaimana hendak mengangkut bahan-bahan binaan sekiranya tiada jambatan mahupun jalan raya yang dapat menghubungkan laluan ke sekolah dengan jalan utama.
“Tiada guna kalau bangunan sekolah sahaja baharu tapi, masih tiada akses jalan raya yang baik ke sekolah. Untuk menaik taraf sekolah, jalan raya kena ada.
“Kalau jalan rosak macam mana hendak mengangkut bahan binaan ke kawasan tersebut. Sekiranya sekolah itu perlu melalui sungai maka, jambatan harus dibina terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Pada masa ini, terdapat 237 sekolah daif termasuk sekolah tahap enam dan tujuh di Sabah sedang dalam proses dinaik taraf dan dibina baharu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif berkata, daripada jumlah itu, 43 sekolah sedang dalam pembinaan manakala, 89 sekolah lagi dalam peringkat pra-pembinaan.
“Keutamaan diberikan dalam menyelesaikan masalah sekolah-sekolah daif terutama yang berskala enam dan tujuh, iaitu bangunan yang tidak selamat diduduki.
“Dalam tempoh 2017 hingga 2024, sebanyak 215 projek bagi menaik taraf dan membina baharu sekolah daif yang terdapat di Sabah,” katanya.
Mohd. Arifin berkata, Kementerian Pendidikan juga berusaha menyelesaikan isu sekolah tumpang di Sabah yang masih belum selesai sehingga sekarang. Masalah sekolah tumpang perlu diselesaikan secara menyeluruh bagi memberi suasana pembelajaran yang kondusif kepada pelajar.
Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin berkata, suatu masa memang ada sekolah-sekolah yang menumpang namun, usaha telah diambil dalam menyelesaikan masalah sekolah tumpang.
“Salah satu keutamaan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri adalah tidak ada lagi sekolah yang menumpang antara satu sama lain. Secara keseluruhan, kita sedang mengatasi masalah ini dan semua sekolah tumpang telah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Jame Alip berkata, beliau melihat perkembangan menyelesaikan isu sekolah daif di Sabah agak perlahan.
Jika mengambil kira jumlah sekolah daif yang disenaraikan di Sabah pada 2013 semasa beliau memegang jawatan pengarah jumlahnya kira-kira 800 buah sekolah.
Kini, setelah lebih 10 tahun jumlah sekolah daif di negeri ini masih melebihi 200 buah sekolah, jumlah itu agak tinggi.
Sekiranya ingin mempercepatkan proses menaiktaraf sekolah-sekolah daif di Sabah, kerajaan negeri perlu menstrukturkan semula kementerian sedia ada dengan menambah Kementerian Pelajaran agar penurunan kuasa boleh diserahkan kepada Sabah.
“Beri ruang kepada Sabah untuk melaksanakan perancangan, penyelenggaraan dan pembinaan sekolah-sekolah daif sendiri. Pendekatan sebegini akan mempercepatkan proses pelaksanaan penaiktarafan sekolah-sekolah daif,” katanya. – UTUSAN