PETALING JAYA: Tiadanya kerahsiaan dalam mekanisme aduan menyebabkan pelajar takut untuk melaporkan gangguan seksual kepada pihak pengurusan universiti terutama yang melibatkan pensyarah.
Ini kerana, pelajar didakwa takut apabila aduan yang dilapor disebarkan kepada pemangsa dan kemudiannya bertindak menggagalkan mereka.
Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhammad Danial Alimin berkata, privasi pelajar yang menjadi mangsa kepada gangguan seksual perlu dijaga dengan ketat supaya pemangsa tidak boleh mengambil tindakan kepada individu yang melaporkan perbuatan tersebut.
“Ya betul, [ensyarah berkenaan dikenakan tindakan tetapi mungkin selepas itu beliau pula mengambil tindakan kepada pelajar seperti menggagalkan mangsa dan sebagainya.
“Ada sebahagian pelajar juga takut hendak maklumkan mereka menjadi mangsa kerana bimbang dikecam dan seumpamanya. Kadangkala juga pelajar itu sendiri sudah biasa dengan tindakan tersebut lalu menganggapnya sebagai perkara biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini seorang pensyarah di Universiti Malaya (UM) didakwa melakukan gangguan seksual dengan menghantar gambar lucah kepada beberapa pelajarnya.
Malah, seorang pengetua sebuah sekolah menengah terkenal di Marang, Pahang dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan berkomunikasi secara lucah dan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuannya lima bulan lalu.
Dalam pada itu, Exco Kepimpinan dan Latihan Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Malaysia (Pimpin), Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, saluran aduan untuk pelajar perlu diperkukuhkan.
“Apabila isu seperti gangguan seksual ini berlaku, ada pihak cuba melindungi pemangsa. Sebab itu kita lihat, kebanyakan masyarakat menyatakan pandangan bahawa saluran aduan perlu ada ketulusan tanpa mengira siapa yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk modul dan kurikulum mengenai pendidikan seksual diterapkan dalam kalangan pensyarah serta guru, bukan sahaja kepada mahasiswa tetapi juga kepada pelajar sekolah.
“Modul tersebut juga perlu melibatkan pelbagai kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini supaya kita dapat hasilkan sebuah modul yang lengkap untuk setiap kategori.
“Ini kerana jika dengan pelajar sekolah, ada cara dan mungkin modul itu tidak terlalu agresif bagi mengelak kesan buruk. Begitu juga dengan modul untuk mahasiswa, perlu ada elemen-elemen dapat ditekankan.
“Sama juga dengan kumpulan pensyarah, walaupun sudah berusia tetapi perlu ada satu peringatan supaya mereka berfikir tindakan tertentu itu adalah salah, kita tidak mahu ada individu yang merasakan perbuatan itu biasa serta boleh diterima,” jelasnya. – UTUSAN