JOHOR BAHRU: Seorang kerani kedai emas termakan umpan pelaburan tidak wujud apabila RM100,000 yang dilaburkannya menerima keuntungan sebanyak RM121,000.
Gelap mata dengan pulangan segera diterima, wanita itu kemudiannya melaburkan RM2.65 juta sebelum sedar dirinya tertipu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa yang membuat laporan semalam mendakwa tertarik dengan iklan pelaburan dalam laman media sosial dan menekan pautan diberikan untuk mendapatkan maklumat lanjut pada akhir Ogos lalu,
“Mangsa dihubungi oleh beberapa individu yang memberi penerangan tentang pelaburan yang dianjurkan dengan pulangan sehingga sembilan peratus daripada jumlah pelaburan.
“Pada pertengahan Oktober lalu, mangsa telah membuat pelaburan awal sebagai percubaan berjumlah RM100,000 dan menerima keuntungan berjumlah RM12,100,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pulangan yang diterima menyebabkan mangsa berasa yakin pelaburan itu betul dan boleh menjana keuntungan lalu mengikut arahan dengan memasukkan wang berjumlah RM2.65 juta ke beberapa akaun bank berlainan bagi mendapat keuntungan lebih banyak antara Oktober hingga akhir bulan lalu.
Mangsa tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan itu, sebaliknya diarahkan membuat pelbagai bayaran lain sebelum wang keuntungan dibayar dan wang pokok dikembalikan, lantas mangsa syak telah ditipu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN