KUALA LUMPUR: Seorang pegawai akaun didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu dan memperdaya mangsa membabitkan wang bernilai RM4,500, Julai lalu.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu setelah tertuduh, Nurul Elyawani Mohamed Naziri, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama 10 hari.
Mengikut pertuduhan, Nurul Elyawani didakwa memiliki wang sebanyak RM4,500 di dalam akaun banknya namun gagal memberikan penjelasan mengenai pemilikan wang berkenaan pada 25 Julai lalu, di Blok B, Kondominium Idaman Sutera di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun beserta sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran bagaimanapun, peguam bela, Edwin Tomas yang mewakili wanita itu memohon hukuman minimum dikenakan terhadap anak guamnya kerana telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Tertuduh merupakan penghidap penyakit keresahan (anxiety) kronik. Dia perlu bekerja untuk menanggung keluarga dan pengakuan salahnya juga telah menjimatkan masa serta kos mahkamah. Dimohon agar mahkamah mempertimbangkan denda serendah-rendahnya,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, pada 7 Julai 2024, pengadu ketika berada di rumahnya telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Umar Adam yang berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pengadu kemudiannya berhubung dengan Umar melalui aplikasi WhatsApp dan lelaki itu memaklumkan telah mengirim hadiah kepadanya melalui perkhidmatan pos.
Pada 25 Julai 2024, semasa berada di tempat kerja di Jalan Usahawan, Medan Makmur, di sini, pengadu menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan dirinya sebagai Alisya iaitu wakil dari syarikat penghantaran barang dan memaklumkan bahawa bungkusan milik pengadu dikenakan denda kerana mengandungi sejumlah wang yang menyalahi undang-undang.
Kemudian, pengadu diminta untuk membayar denda tersebut. Oleh itu, pada 25 dan 26 Julai 2024, pengadu telah membuat dua transaksi pembayaran berjumlah RM4,500 ke akaun Affin Bank milik Nurul Elyawani.
Namun, selepas pembayaran dibuat, pengadu mula curiga dan mengesyaki dirinya telah ditipu apabila masih diminta untuk membuat bayaran tambahan. Pengadu mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM4,500. – UTUSAN