PDRM tumpaskan sindiket jual senjata tiruan dalam talian 

PDRM tumpaskan sindiket jual senjata tiruan dalam talian 

PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu serta merampas sebanyak 669 laras senjata tiruan dalam dua operasi di Jalan Raja Laut dekat sini dan Kota Bharu, Kelantan.

Kesemua suspek berusia 28 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi operasi Taring Bravo 3, Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Taring Dos yang dijalankan oleh Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bermula Selasa hingga Rabu lalu.

Serbuan dijalankan susulan pihak polis mengesan penjualan senjata tiruan dalam siaran langsung di TikTok secara terbuka dengan harga RM150 hingga RM500 setiap satu.

Pengarah KDNKA PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya melaksanakan risikan dan operasi berkaitan  maklumat penjualan senjata tiruan melalui platform dalam talian.

Katanya, operasi pertama dilaksanakan pada Selalu lalu ke atas sebuah premis di Kota Bharu, Kelantan melibatkan penjualan senjata tiruan dan penyimpanan hidupan liar tanpa permit.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan dan sebanyak 32 laras senjata tiruan telah dirampas.

“Siasatan mendapati suspek telah menjalankan perniagaan menjual senjata tiruan melalui platform dalam talian secara siaran langsung di TikTok sejak beberapa bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut turut mendapati suspek membeli senjata tiruan daripada sebuah premis di ibu negara.

“Pemeriksaan lanjut di premis turut menemukan dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit yang sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 2010),” katanya.

Jelasnya, pihak polis turut merampas beberapa kotak mengandungi ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960 dan Peraturan-Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, serbuan pertama turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan termasuk warga asing di sebuah premis kedai di Jalan Raja Laut dekat sini.

Dalam operasi terbabit, pihaknya turut merampas sebanyak 637 laras senjata tiruan dan kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960.

“Siasatan mendapati premis itu menjual senjata tiruan secara bersembunyi yang disorokkan di belakang kedai agar kegiatan mereka tidak dikesan oleh pihak berkuasa. Bekalan senjata itu diperoleh dari negara luar.

“Keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi dianggarkan berjumlah RM436,971.

“PDRM memberi jaminan akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau meminta orang awam memberi maklumat kepada PDRM untuk membantu membanteras jenayah berkenaan sepenuhnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya