PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memanggil blogger Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris berkaitan kenyataannya dimuat naik di Youtube yang berunsur fitnah dan mengaibkan kehormatan terhadap Ketua Polis Negara dan Pasukan Polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah merakam percakapan blogger terbabit pada 3 petang di Balai Polis Setapak.
Katanya, siasatan tersebut dilakukan susulan satu laporan polis dibuat terhadap blogger tersebut pada Ahad lalu.
Ujarnya, ketika pengadu berada di pejabatnya di Jalan Tun Razak, dia telah melayari Internet dan melihat satu video yang dimuat naik Papagomo di akaun Youtube miliknya bertajuk Ketua Polis Negara Pelacur Banduan Terhormat.
“Antara intipati kandungan video tersebut pada minit ke 31:05 adalah IGP (Ketua Polis Negara) ini penjilat kepada Anwar Ibrahim, IGP ini ibarat pelacur kepada banduan.
“Hasil penelitian dapati video mengandungi unsur fitnah dan mengaibkan kehormatan terhadap Ketua Polis Negara dan Pasukan Polis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Susulan itu, menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 504 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jelasnya, sebanyak 37 soalan diajukan terbadap blogger terbabit.
“Proses rakam percakapan selesai pada 4.05 petang. Siasatan diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Pada 14 Disember, Papagomo memuat naik video mendakwa dia dijadikan alat kezaliman susulan penahanannya pada Jumaat lalu.- UTUSAN