KUALA LUMPUR: Peranan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya tidak boleh dinafikan dalam menjadi tunggak utama pertahanan dalam negeri, namun tidak boleh bergantung kepada penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam hal ini, kerajaan menuntut perubahan dan peningkatan dalam semua aspek, sekali gus menjelaskan peranan PDRM itu penting bagi memberi kestabilan terhadap politik, ekonomi dan kemasukan pelaburan ke dalam negara.
“Saya mewakili pandangan bahawa kita mempunyai keupayaan untuk maju, bukan terjebak dengan politik picisan, pergolakan kaum, dan agama yang tidak membawa keuntungan.
“Kita perlu fokus kepada usaha menyelamatkan negara agar aman dan terus berkembang pesat.
“Pertumbuhan ekonomi yang kukuh boleh meningkatkan mutu pendidikan, kesihatan rakyat, serta menjadikan negara sebagai hub semikonduktor dan AI yang maju.
Ini semua harus menjadi keutamaan kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran IPFC (IPCC, Police, Friends and Collaborators) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
IPFC merupakan program bawah Pelan Strategik IPCC yang berperanan untuk meralisasikan visinya sebagai badan pemantau bebas yang dipercayai bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada integriti pasukan polis melalui misinya iaitu mewujudkan mekanisme aduan dan siasatan yang efektif, efisien dan mempertingkatkan standard kepolisan.
IPFC juga bertujuan untuk membantu memantau tata kelakuan anggota pasukan polis, melindungi hak asasi orang awam dan Anggota Pasukan Polis, memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan IPCC serta polis lalu meningkatkan imej dan nama baik negara.
IPCC melalui platfom IPFC menyasarkan dan menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui sesi libat urus, perkongsian kepakaran, pameran, sesi meja bulat, dialog dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut mengingatkan agar anggota polis tidak bertolak ansur dalam memastikan keadilan dan kesejahteraan negara, sekali gus tindakan perlu diambil terhadap penyalahgunaan kuasa yang berlaku.
“Jadi, prasyaratnya adalah memastikan negara kekal aman, terkawal, dan bebas daripada amalan boros, sombong, angkuh, zalim, serta menekan rakyat. Kita tidak boleh membiarkan mereka yang berkuasa lupa tanggungjawab atau menyalahgunakan kuasa dengan menindas orang lain,” ujarnya lagi.-UTUSAN