DUNGUN: Pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) masih relevan diteruskan di sekolah yang terjejas banjir bagi memastikan tiada murid tercicir sepanjang musibah tersebut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebahagian pelajar di sekolah-sekolah yang terlibat menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) akan disusun untuk mengikuti sesi tersebut termasuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terutama pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru-guru telah bersedia untuk melaksanakan PdPR di sekolah terlibat banjir.
“PdPR masih relevan dilaksanakan semasa sekolah-sekolah terlibat banjir dan menjadi PPS.
“Dari şegi pendidikan, pelajar tidak akan terganggu walaupun mereka ditempatkan di PPS,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengal, di sini, hari ini.
Beliau turut melakukan tinjauan pelajar di sekolah itu yang menduduki Ujian Bertutur Bahasa Inggeris SPM yang bermula hari ini.
Selain itu, Fadhlina memberitahu, seramai 1,580 jurulatih pasukan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) turut digerakkan bagi membantu murid dari segi sokongan psikososial dan emosi serta pembelajaran di sekolah yang terjejas banjir.
Katanya, SST itu melibatkan sukarelawan guru bimbingan dan kaunseling berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan bencana tersebut.
Sementara itu, katanya, AST pula berperanan membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS.
“Seramai 110 kaunselor di Kelantan, Kedah (110 kaunselor) dan Terengganu (90 kaunselor) juga digerakkan bagi membantu di PPS dan calon di asrama tempoh peperiksaan SPM,” katanya. – UTUSAN