IPOH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh mengenakan syarat wajib kepada peniaga makanan dan minuman untuk mendapatkan sijil halal bagi memperbaharui lesen perniagaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, ini kerana tiada paksaan untuk restoran atau mana-mana industri makanan dan minuman (F&B) di seluruh negara memohon sijil halal seperti mana yang diputuskan kerajaan.
Katanya, PBT juga perlu menghormati bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berperanan penting dalam perkara itu sekali gus tidak melakukan apa-apa perkara yang bercanggah dengan keputusan Jemaah Menteri.
“Sijil halal adalah di bawah bidang kuasa JAKIM, jadi saya nasihatkan kepada mana-mana PBT untuk menghormati bidang kuasa Jakim.
“Jemaah Menteri pun sudah buat keputusan di mana kerajaan menggalakkan pengusaha untuk memohon sijil halal tetapi kita tidak pernah paksa. Itu yang saya tegaskan, kita tidak boleh paksa tapi menggalakkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Meru Raya di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli.
Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan mewajibkan peniaga makanan dan minuman memiliki sijil halal dilihat agak membebankan terutama bagi peniaga kecil.
Katanya, sebagai contoh peniaga nasi lemak dan pisang goreng terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk memperoleh sijil halal bagi memenuhi syarat memperbaharui lesen perniagaan.
“Kos sijil halal pun beribu-ribu ringgit, selepas itu untuk perbaharui sijil tersebut tertakluk pula kepada audit tahunan dan proses ini pun perlukan bayaran juga.
“Lagipun negara kita berbilang kaum, perlu juga ambil kira keperluan pengusaha bukan Melayu yang menjual makanan tidak halal,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, kerajaan negeri Kelantan menetapkan syarat kepada pengusaha premis makanan dan minuman di negeri itu untuk memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebelum menyambung lesen perniagaan dengan PBT.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu, Mohd. Asri Mat Daud dilaporkan berkata, sebagai permulaan syarat wajib tersebut dipelopori oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI). – UTUSAN